Sabtu lalu, seorang kanak-kanak 12 tahun di Taman Harmoni, Buntong, Perak yang kecewa kerana tidak berjaya memperoleh kad pengenalan atau MyKad telah cuba membunuh diri dengan meminum racun rumpai.
Tindakan kanak-kanak itu, S. Mahalachime dikatakan berpunca daripada perasaan sedih apabila diejek kawan-kawan setelah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak meluluskan permohonan MyKad yang dibuat disebabkan warna kulit yang berbeza dengan ibunya. Mujurlah, dia berjaya diselamatkan.
Menurut ibu Mahalachime, V Kamala kepada akhbar Tamil Nesan, JPN Perak turut meminta dia dan anaknya menjalani ujian DNA bagi membuktikan hubungan mereka anak beranak.
Mereka bagaimanapun enggan menjalani ujian tersebut kerana ia melanggar hak asasi mereka.
Bagaimanapun 12.30 tengah hari tadi, penantian dan kesedihan kanak-kanak berkenaan sudah berakhir apabila dia menerima MyKad buat kali pertama.
MyKad itu pula bukan calang-calang, diserahkan sendiri oleh Pengarah JPN, Mohd Zahari Hassan kepadanya!
Apabila ditanya perasaannya oleh wartawan, Mahalachime nyata terlalu gembira hingga tak mampu berkata apa-apa.
Dia cuma mampu memeluk ibunya yang turut menangis bersama-sama.
Menurut JPN, permohonan MyKad Mahalachime sebelum ini bukanlah ditolak sebaliknya sedikit masa diperlukan bagi menyiasat statusnya memandangkan warna kulit kanak-kanak berkenaan yang berbeza daripada ibunya.
Siasatan kemudiannya mendapati dia adalah anak kandung wanita berkenaan dan permohonan diproses seperti biasa.
Namun apa yang berlaku, pihak Mahalachime pula dikatakan sudah menggunakan pihak ketiga untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka.
Betul juga tu, kalau semua permohonan MyKad mudah sahaja diluluskan, dibimbangi ada pihak akan mengambil kesempatan memandangkan MyKad adalah satu dokumen berharga bagi setiap warganegara Malaysia. – REM RAMZI
0 komentar:
Posting Komentar