ISNIN, 28 MEI 2012
BATU PAHAT - “Kami menggunakan panggilan ‘abang’ dan ‘sayang’ dan kehadirannya dalam hidup saya membuka buku baru dalam hidup ini.
“Saya berdoa perkahwinan ini berkekalan hingga ke akhir hayat dan menemaninya hingga hujung nyawa,” kata Salmah Saimon, 53, yang melangsungkan perkahwinan dengan warga emas, Mohd Hassim Ahsan, 76, semalam.
Pasangan yang menjalin hubungan cinta selama lima bulan sebelum dinikahkan, sebelum ini hanya melepaskan rindu melalui telefon bimbit berikutan Mohd Hassim berada di Beroleh di sini, manakala Salmah bekerja di Kuala Lumpur.
Cinta jarak jauh itu mendapat restu keluarga sebelum melangsungkan perkahwinan di Kampung Lubuk, Jalan Batu Putih di sini, semalam.
Mohd Hassim berkata, dia beruntung apabila disatukan dengan Salmah menerusi majlis pernikahan dan persandingan yang dihadiri lebih 1,000 ahli keluarga.
“Ini adalah ketentuan Allah dan siapa sangka pada usia begini, jodoh saya masih ada dan dikurniakan pasangan yang cukup memahami.
“Sepanjang tempoh perkenalan mulai awal tahun ini, kami hanya berhubung menerusi telefon dan mengenali hati budi,” katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinan mereka, semalam.
Katanya, dia mempunyai enam anak dan 16 cucu, manakala Salmah, tiga anak dan tiga cucu.
Mengimbau detik perkenalan mereka awal Januari lalu, Hassim yang juga pesara guru berkata, dia diperkenalkan dengan Salmah menerusi saudaranya.
“Hasil perbualan menerusi telefon, saya dapati Salmah penyayang dan memahami diri saya.
“Sebaik mengetahui kami serasi bersama, kami mengambil keputusan bertunang tiga bulan lalu. “Alhamdulillah, tiga bulan kemudian (hari ini) kami sah menjadi suami isteri dan lebih bermakna semua ahli keluarga bersetuju dengan keputusan kami,” katanya. Pada majlis berkenaan, pasangan pengantin warga emas yang lengkap persalinan serba ungu jelas tersipu malu apabila diusik ahli keluarga.
“Saya berdoa perkahwinan ini berkekalan hingga ke akhir hayat dan menemaninya hingga hujung nyawa.
0 komentar:
Posting Komentar